Tidur Yang Enak

Tidur orang tua selalu pendek, tetapi kerap. Orang tua bangun pun lebih awal daripada orang muda. Dia turun ke dapur dan menyediakan sarapan kalau dia seorang isteri; sementara seorang suami keluar ke halaman rumah dan membersihkan daun kering sebelum berjalan ke kedai runcit untuk membeli koran. Ketika si isteri sedang membersihkan pinggan dan cawan, si suami sudah terlena bersama koran di ribanya. Tengah hari nanti dia akan tidur semula dan dia akan tidur sekali lagi di tikar sejadah sementara menanti azan Maghrib.

Kadang-kadang saya rasa tidur orang tua adalah persiapan menghadapi kematian. Apabila datangnya waktu dan giliran kita untuk pergi, tidur kita menjadi tidur yang abadi. Ahli falsafah Romani, Cicero, berkata falsafah adalah pelajaran menghadapi kematian. Seruan itu ternyata menakutkan. Bukankah lebih praktis untuk kita menerima falsafah sebagai pelajaran dan disiplin tidur yang enak?

Satu cara kita boleh memandang kebahagiaan adalah sebagai keinginan untuk mati tenang di rumah. Siapa yang nak mati di katil hospital? Namun paradoks kehidupan moden adalah sains menjanjikan kepada kita hidup yang abadi dan sihat. Justeru memaksa pergantungan kita pada hospital dan ubat. Kita lebih risau memikirkan insuran kesihatan berbanding persediaan kita menghadapi maut.

Kita tidak boleh sebenarnya belajar cara menikmati tidur daripada ahli falsafah (golongan ini sendiri terdiri daripada para insomniak tegar). Kita memerlukan bantuan tabib. Di Perancis ada seorang pengarang cerita pendek bernama Jean Ferry. Dia hidup sezaman dengan Breton dan ikut melepak dengan hantu-hantu surrealis di Paris. Ferry gemar mengisahkan orang-orang yang sering lelah dan mengantuk. Antaranya adalah seorang ahli astrologi Cina dalam cerita berjudul "The Chinese Astrologer". Di hujung usianya tukang astrologi ini sibuk mengira hari dia akan mati. Dia terlalu tekun membuat pengiraan sehingga dia tertidur penat dan mati sebelum dia sempat mendedahkan kebenaran yang dia telah temui. Ferry kemudian membandingkan nasib malang lelaki ini dengan seorang ahli akademik yang mati muda kerana terlalu sibuk menguruskan kajian kepada buku berjudul "The Right to be Lazy."

Kalaulah tukang astrologi itu lebih kerap tidur dari awal, barangkali dia tidak perlu bekerja keras, kerana bintang-bintang di angkasa akan berbicara dalam mimpinya setiap malam.