Tabiat Orang Dulu
Published by Wan Nor Azriq,
Ada banyak. Malah bahasa Kedah dulu dengan bahasa Kedah sekarang pun ada beberapa perbezaan. Saya sudah jarang mendengar orang sekarang sebut "toyu" apabila meminta "kicap" di gerai makan. Sama juga perkataan "camca" apabila ingin meminta "sudu." Atau perkataan "beda" yang maksudnya bukan berbeza seperti kita sedia faham, tetapi bagi orang Kedah ia bermaksud lebihan sesuatu benda (contohnya, "Eh, hang simpanlah sikit nasi tu buat beda makan malam ni."). Atau perkataan "segok" yang sama maksud dengan "kekok" (contohnya, "Dok biasa dah tulis dengan tangan kanan, tiba-tiba nak tulis tangan kiri, eh segok."). Antara tabiat orang dulu saya seronok dengar adalah mandi Safar. Tempat mandi Safar paling terkenal sebenarnya adalah Tanjung Kling Melaka di mana orang dari serata negeri akan datang ke pantai itu untuk membuang bala. Tetapi di negeri lain pun ada ritual mandi Safar tersendiri. Menurut emak saya, di Pendang, orang akan memulakan mandi Safar dengan membuat catatan di kertas, gulungkannya lalu diikat pada batu, dan kemudian dibuang ke dasar telaga di belakang rumah atau kampung masing-masing. Selesai, budak-budak akan dimandikan beramai-ramai bagi membuang bala. Selalunya menjelang bulan Safar acara kenduri dan pernikahan tidak akan dibuat kerana orang percaya Allah akan turunkan bala pada masa itu. Tabiat orang dulu memang aneh, malah mengejutkan, buat kita yang tidak sempat melaluinya. Kerbau misalnya dilagakan di dalam gelanggang buat hiburan dan mainan perjudian putera-putera makhota negeri Kedah. Atau tabiat arwah nenek saya yang akan panggil tikus di dalam rumah "permaisuri" kerana dia percaya tikus membawa dosa orang-orang mati. Bahasa baru menggantikan bahasa lama; tabiat baru menggantikan tabiat lama; memori baru menggantikan memori lama. Tetapi kenapa kita rasa kita masih orang yang sama?