Secawan atau Secangkir Kopi?
Published by Wan Nor Azriq,

Ini adalah secawan kopi Vietnam. Adakah semudah itu untuk saya membaca benda ini sebagai sebuah cawan kopi? Saya melihat dan menggunakan cawan ini tanpa berfikir panjang jika ia hanya sekadar objek harian di dalam rumah keluarga saya. Dulu cawan ini tidak ada di dapur (kami menggunakan cawan jenis lain), tetapi sekarang ia mendapat tempat penting sebagai sebuah perkakas wajib apabila saya atau kami sekeluarga duduk bersarapan di meja dapur. Di Malaysia kita jarang mendengar orang menyebut cawan sebagai cangkir. Sama seperti kita jarang mendengar orang menyebut canda sebagai gurau. Di Indonesia ia adalah sebaliknya: cawan menjadi cangkir, dan gurau menjadi canda. Saya tanya kepada Eka Kurniawan kenapa menyebut cangkir dan bukan cawan. Alasannya cangkir lebih maskulin bunyinya. Mungkin betul juga, tetapi di telinga saya cangkir selalu kedengaran lebih kasar berbanding cawan. Malah kalau cangkir dicantumkan dengan teh, kehalusan teh itu sudah hilang sifatnya. Namun kata cawan atau cangkir masih terbatas pada aspek penamaan sesuatu benda, dan di peringkat ini, kita masih belum betul-betul melihat dan membaca benda tersebut, kerana kita hanya meminjam kata yang sudah sedia ada. Kefahaman kita terhadap benda ini sebagai cawan akan hanya tercabar apabila, 1) benda itu hancur daripada sifat fizikalnya (jatuh ke lantai atau dibaling ke dinding), 2) kita menggantikan penamaan asal dengan kata baru, 3) kita menukarkan kondisi lokalnya (kita mengeluarkan cawan ini dari dapur). Cuba bayangkan, kalau benda ini tidak dipanggil cawan, tetapi kita memanggilnya beruang. Bukankah di situ kefahaman kita terhadap benda ini akan berubah? Bukankah kita akan lebih terbuka mata untuk memandangnya sekarang? Cuba lihat dua ayat ini: "Secangkir kopi Vietnam," dan "Seberuang kopi Vietnam." Bagi saya kedua-dua ayat itu adalah benar kerana kita masih di peringkat penamaan. Tetapi ayat kedua mempunyai suatu kualiti berbeza berbanding ayat pertama: metafora. Kita selalu faham metafora sebagai teknik penulisan puisi, tetapi saya melihat metafora dalam semua benda. Metafora tidak diciptakan; metafora hadir untuk dibacakan. Metafora adalah kualiti dalaman semua benda dalam hidup yang Kant sebut sebagai noumenal. Menurut Kant noumenal berada di luar jangkauan pancaindera manusia. Dia percaya rasionaliti boleh menyelesaikan masalah ini. Tetapi pembacaan metafora tidak boleh hadir dalam suatu sistem logik. Ia tidak cukup dengan hanya melihat dan berfikir tentang secangkir kopi untuk kita faham ia adalah secangkir kopi. Metafora adalah dialog; metafora sentiasa memerlukan seorang pembaca. Seperti mana secawan kopi Vietnam ini memerlukan saya untuk minumnya di dapur setiap pagi di rumah keluarga saya untuk ia berdiri lebih daripada sekadar perkakas minuman di dapur.