Rumah Baru

Saya hanya berpindah rumah dari "Kritikus Sastera" ke "Dunia Dalam Gelas Pasir", tetapi rumah lama itu tetap bahagian daripada hidup saya. Ada hari saya akan kembali juga ke rumah itu, seperti orang yang balik kampung setelah berbulan-bulan atau bertahun-tahun berada di tempat jauh. Nama blog saya sudah berubah kerana pandangan saya terhadap sastera dan penulisan telah berubah. Ketika "Kritikus Sastera" dibangunkan saya sangat seronok dengan teori kritikan dan perasaan puas membelasah karya orang lain sesuka hati. Sekarang melihat kembali nama blog itu, ada timbul rasa malu kerana mengangkat diri sendiri menjadi seorang kritikus sastera. Saya masih suka membuat kritikan dan akan terus membuat kritikan, tetapi bukan lagi dengan mengenakan jubah seorang "kritikus." Saya lebih senang kalau pendapat saya selepas ini diterima sebagai pandangan ghairah seorang pembaca Tintin dan Asterix, seorang peminat permainan papan Alien Frontiers dan Ticket to Ride, dan seorang pejalan kaki serius yang tidak rasa makan Big Mac setiap minggu sebagai suatu dosa besar.

Saya masih kritikal, tetapi saya tidak kritikal dalam semua benda dan setiap waktu. Saya hanya ingin membiarkan waktu menurunkan pasirnya dan saya menjadi pemerhati waktu yang setia.