Berjalan Di Dalam LRT (i)

Berjalan di dalam LRT adalah ibarat berjalan dengan waktu. Merasakan di bawah kaki pergerakan gerabak kereta. Melihat semua orang menjadi kaku di kerusi dan pintu ibarat patung di dalam kotak kaca. Kita tidak berfikir di dalam sebuah LRT. Malah fikiran kita tidak wujud. Minda kita bagaikan terpisah daripada badan dalam ruang perjalanan yang singkat itu. Percubaan untuk berfikir adalah percubaan melawan waktu. Dan kita akan tewas kerana sebuah LRT sentiasa meluncur lebih laju daripada tenaga mata manusia. Barangkali semua penumpang LRT adalah manusia yang tewas. Kenapa tidak? Sebelum dia melangkah masuk, dia sudah berulang-ulang kali ditewaskan oleh kehidupan.