Bandar Maya Di Atas Gunung (Pu Songling)
Published by Wan Nor Azriq,
'Bandar maya di atas gunung' di gunung Huan adalah salah satu tempat yang pemandangannya indah di alam wilayah kami. Namun ia selalu tidak kelihatan untuk beberapa tahun lamanya. Tuan muda Sun Yunian berserta beberapa orang rakannya sedang minum arak di atas loteng dari sebuah pavilion, apabila sekonyong-konyong kelihatan oleh mereka tersergam sebuah pagoda secara mendadak di atas puncak gunung itu dengan ketinggiannya menjulang ke langit biru. Maka mereka menjadi terkejut dan pandang-memandang sesama sendiri dengan kebimbangan, kerana dianggapnya tiada kuil seperti itu di kawasan yang berdekatan. Sejurus selepas itu, kelihatan pula oleh mereka beberapa puluh buah bangunan istana dengan atap genting berwarna hijau dan kedua-dua belebas bumbungnya melentik. Akhirnya mereka baru menyedari bahawa yang dilihat mereka itu ialah 'bandar maya di atas gunung.'
Sejurus selepas itu, kelihatan oleh mereka tembok tinggi dengan lubang-lubang tempat menembak yang sepanjag enam atau tujuh li - ternyata adalah tembok daripada sebuah bandar. Jelas kelihatan oleh mereka bahawa semua binaan itu seperti bangunan bertingkat, dewan dan gerbang di dalam bandar dengan jumlahnya ratusan juta buah.
Sekonyong-konyong bertiuplah angin kencang dan debu yang dibawa oleh angin itu menyebabkan bandar itu kelihatan samar-samar. Apabila menjadi cerah, maka semua yang dilihatnya tadi telah ghaib kecuali sebuah bangunan tinggi berloteng masih menjulang ke angkasa. Lima buah tingkap daripada setiap tingkat bangunan itu terbuka luas dan cahaya dari langit menyorot menerusi sebelah luar membentuk suatu barisan terang dari kelima-lima tingkap itu. Dengan membilang barisan yang jelas itu, orang boleh mengetahui jumlah tingkatnya; dan semakin tinggi tingkatnya semakin kurang terangnya. Apabila dibilang sampai kepada tingkat yang kelapan, maka seperti bintang saja; dan tingkat yang lebih tinggi lagi kabur-kabur saja, tidak dapat lagi membilang jumlah tingkatnya. Namun orang-orang yang berjalan ulang-alik di atas loteng dari setiap tingkat itu sangat sibuk, ada yang berteleku, ada juga yang berdiri, berbeza-beza gaya dan kedudukan mereka.
Beberapa waktu kemudian, bangunan itu beransur-ansur menjadi rendah, dan boleh nampak bumbungannya; dan beransur-ansur menjadi bangunan berloteng yang biasa. Selepas itu, ia menjadi sebuah rumah yang tinggi; dan sebentar lagi tiba-tiba menjadi sebesar tinju dan sebesar biji kacang, dan tidak kelihatan lagi sesudah itu. Dikhabarkan bahawa orang-orang yang datang lebih awal pada sebelah pagi telah menyaksikan penghuni-penghuni dan kedai-kedai di atas gunung itu tiada bezanya dengan dunia insani. Maka keadaan yang sedemikian itu juga dinamai sebagai 'bandar hantu.'
(Penterjemah Liang Hong)